Kisah 3 Budak...

Prelude:
Aku bukan dalam mood update. Sibuk serba sedikit. Qada' Allah.
Ada masa lapang, ada masa sempit.
Itu lumrah.
Jadi, aku tempelkan e-tazkirah ni.
**********************************************************
Dalam sebuah hadith yang panjang yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawasanya ia mendengar Nabi s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya ada tiga orang dari kaum Bani Israil, iaitu seorang berpenyakit sopak, botak dan buta.

Allah hendak menguji mereka itu, kemudian mengutus seorang malaikat kepada mereka.

Malaikat ini mendatangi si sopak lalu berkata:
Apakah perkara yang paling kamu sukai?

Si sopak menjawab:
Sembuh daripada sopak dan dikurniakan kulit yang cantik supaya manusia tidak merasa jijik kepadaku.

Malaikat itu lalu mengusap kulitnya dan lenyaplah kotoran-kotoran itu dari tubuhnya dan dikurniakan kulit yang baik.

Malaikat itu berkata pula:
Harta apakah yang paling kamu sukai?

Orang itu menjawab:
Unta.

Lalu dia dikurniakan unta yang bunting.

Kemudian malaikat berkata:
Semoga Allah memberi keberkatan untukmu dalam unta ini.

Malaikat itu seterusnya mendatangi orang botak, kemudian berkata:
Apakah perkara yang paling kamu sukai?

Orang botak menjawab:
Rambut yang lebat supaya manusia tidak merasa jijik kepadaku.

Malaikat itu lalu mengusap kepalanya dan tumbuhlah rambut di kepalanya dengan lebat dan cantik.

Malaikat berkata pula:
Harta apakah yang paling kamu sukai?

Dia berkata:
Lembu.

Lalu dia dikurniakan lembu yang bunting dan malaikat itu berkata:
Semoga Allah memberikan keberkatan untukmu dalam lembu ini.

Akhirnya malaikat itu mendatangi orang buta lalu berkata:
Apakah perkara yang paling kamu sukai?

Orang buta menjawab:
Semoga Allah mengembalikan penglihatanku sehingga aku dapat melihat semua orang.

Malaikat lalu mengusapnya dan Allah mengembalikan penglihatannya.

Malaikat berkata pula:
Harta yang paling kamu sukai?

Dia menjawab:
Kambing.

Lalu dikurniakan kambing yang bunting - hampir beranak.

Akhirnya unta, lembu dan kambing si sopak, botak dan buta berkembang biak sehingga memenuhi lembah yang luas.

Mereka terus diuji.

Malaikat datang semula menziarahi si sopak dalam rupa seperti keadaan si sopak yang dahulu dan berkata:

Aku seorang miskin, sudah terputus semua punca rezeki dalam perjalananku. Maka tiada siapa yang dapat membantuku kecuali Allah dan juga dengan pertolongan mu. Saya meminta padamu dengan atas nama Allah yang telah mengurniakan padamu kulit yang baik dan harta yang banyak, sudi kiranya engkau membantuku untuk meneruskan perjalanan.

Si sopak itu menjawab:
Keperluan-keperluanku masih banyak sekali.

Dia enggan memberikan sedekah walaupun hartanya banyak.

Malaikat itu berkata lagi:
Saya seolah-olah pernah mengenalimu. Bukankah engkau dahulu seorang yang berpenyakit sopak yang dijauhi oleh semua manusia. Bukankah engkau dulu seorang fakir miskin, kemudian Allah mengurniakan harta padamu?

Si sopak menjawab:
Semua harta ini, saya mewarisi dari nenek-moyangku dulu dan mereka pun dari nenek-moyang mereka pula.

Malaikat berkata pula:
Jikalau engkau berdusta maka Allah pasti akan menjadikan engkau kembali seperti keadaanmu semula.

Malaikat itu selanjutnya mendatangi si botak dalam kedaannya yang asal kemudian berkata kepadanya sebagaimana yang dikatakan kepada si sopak dan si botak itu menolak permintaannya sama seperti si sopak itu.

Akhirnya malaikat itu berkata:
Jikalau engkau berdusta, maka Allah pasti akan menjadikan engkau kembali sebagaimana keadaanmu dahulu.

Seterusnya malaikat itu mendatangi orang - yang asalnya - buta dalam keadaan asal dan kemudian ia berkata:

Saya adalah orang miskin dan sedang bermusafir dan kehabisan bekal, sudah terputus semua sebab-sebab untuk dapat memperoleh rezeki bagiku dalam berpergianku ini, Maka tiada siapa yang dapat membantuku kecuali Allah dan juga dengan pertolonganmu. Saya meminta padamu dengan atas nama Allah yang mengembalikan penglihatan untukmu dan harta yang banyak, sudi kiranya engkau membantuku untuk meneruskan perjalanan iaitu seekor kambing yang dapat saya gunakan dalam perjalanan ini.

Orang buta dahulu itu berkata:
Saya dahulu pernah buta, kemudian Allah mengembalikan penglihatan padaku. Maka oleh sebab itu ambillah mana saja yang engkau inginkan dan tinggalkanlah mana saja yang engkau inginkan.
Demi Allah saya tidak akan menyusahkanmu - kerana tidak menunaikan permintaanmu pada hari ini semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah 'Azzawajalla."


Malaikat itu lalu berkata:
Jagalah hartamu, sebab sebenarnya kamu semua ini telah diuji, kemudian Allah telah meredhai dirimu dan memurkai pada dua sahabatmu - si sopak dan si botak.
(al Bukhari dan Muslim)

Moral kepada kisah di atas adalah sifat bersyukur akan menyebabkan seseorang itu lebih berjaya dan bertuah. Sifat tidak bersyukur sebaliknya menjadikan seseorang itu sentiasa dalam keadaan ‘kesempitan’. Jadilah seperti “si Buta” walaupun kita adalah orang yang celik; jangan kita menjadi seperti “si Sopak” dan “si Botak” kerana kita sememangnya mempunyai kulit yang baik dan berambut lebat!

Comments

  1. hmmm... biasalah. Masa susah memang selalu ingat Allah... bila senang sikit je... habiss... Nan adoo. sebab tu lah Allah selalu bagi kita susah kot, biar kita ingat kat Dia sentiasa...

    apa-apa pun, kesempatan tak akan selalu kita dapat. tapi bersyukur tetap kena selalu...

    ReplyDelete
  2. manusia kadang kadang lupa kesusahannya masa dahulu, bila senang.

    ReplyDelete
  3. Kita hidup di dunia ini utk diuji siapa yg ingat kpd Penciptanya. Seperti mana2 ujian, ada yg cemerlang, ada yg sekadar lulus dan ada yg gagal.

    Semoga kita semua menjadi insan yg cemerlang.

    Terima kasih berkongsi cerita ini.

    ReplyDelete
  4. ku nak aminkan doa YB tu.. hehehe...

    AMINnnnnnnnnn...

    ReplyDelete
  5. baca en3 nie buat sy CELIK

    celik dlm ertikata mensyukuri nikmat tuhan.

    ReplyDelete
  6. takzirah yg baik utk igtkan dari yg mudah alpa..

    terrima kasih cikgu!!

    ReplyDelete
  7. chimera
    bersyukur tu yg penting...

    AZANI
    susah ujian, senang pun ujian...

    Yunus Badawi
    same2...

    Jard The Great
    amin..

    kuIna LadyInRed
    same2la kite mencelikkan diri kite...

    Kujie & NuR
    same2...

    ReplyDelete
  8. kemewahan juga satu ujian dari allah.. sentiasa lah beringat..

    ReplyDelete

Post a Comment

Terima kasih atas kunjungan

Tinggalkan komen?

Popular posts from this blog

Ultra UNGU...The Parade...

Jangan fikir lama-lama nanti dikebas orang...